Sabtu, 4 Januari 2020 | 8:39pm
KEADAAN bangunan yang musnah dalam kebakaran di Victoria. - Foto Reuters
KEADAAN bangunan yang musnah dalam kebakaran di Victoria. - Foto Reuters

Kebakaran hutan Australia terus marak, 23 maut

SYDNEY: Kebakaran hutan meluas merebak secara tidak terkawal di pantai timur Australia, hari ini, ekoran suhu tinggi dan angin kencang sehingga menyebabkan pasukan bomba bertungkus lumus berjuang menyelamatkan nyawa dan harta benda penduduk.

Perubahan keadaan angin juga memburukkan situasi kerana menyebabkan beberapa kebakaran besar bercantum.

Menjelang lewat petang tadi, Victoria merekodkan 14 kebakaran pada tahap kecemasan atau amaran yang memerlukan pemindahan, New South Wales mempunyai 11 kebakaran kecemasan selain lebih 150 kebakaran lain di seluruh beberapa negeri itu.

Banyak kebakaran baharu turut dilaporkan dan ada kebakaran lain sudah melepasi garisan kawalan.

“Ada beberapa kebakaran bercantum, ia sangat kuat dan sangat besar sehingga mencetuskan beberapa ribut petir api,” kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar (RFS) New South Wales, Shane Fitzsimmons.

Perdana Menteri Scott Morrison memaklumkan 23 kematian akibat kebakaran di seluruh negara itu, pada musim kali ini, sejak September lalu. Katanya, 12 kematian membabitkan mangsa terkorban, minggu ini sahaja. - Reuters

Berita Harian X