Ahad, 5 Januari 2020 | 12:57pm

AKSEM Kelantan tumpaskan cubaan seludup mercun, bunga api

KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan merampas 84 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM84,000 disyaki bagi menampung permintaan menjelang Tahun Baharu Cina hujung bulan ini.

Komander AKSEM Kelantan, Rusli Karim, berkata rampasan itu dilakukan pada jam 12.15 tengah malam di Kampung Bukit Pangkal Gong, Pulai Chondong selepas pihaknya mengekori sebuah lori sejauh 50 kilometer dari sempadan Malaysia - Thailand di Rantau Panjang.

Katanya, ketika pemantauan dibuat, pihaknya mendapati pengeludupan mercun dan bunga api berlaku di Sungai Golok dekat Rantau Panjang.

“Kita mendapati bekalan mercun terbabit dibawa menggunakan lori sebelum ke Pulai Chondong, Machang iaitu lokasi transit mereka. Sebaik sampai di lokasi berkenaan, pemandu lori berkenaan melarikan diri dipercayai sudah mengesan kehadiran pihak berkuasa.

“Kita mendapati sebuah lori lagi sedang menunggu di lokasi berkenaan dipercayai untuk membawa bekalan terbabit di Lembah Klang,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua bekalan mercun dan bunga api itu adalah untuk pasaran Lembah Klang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Berdasarkan modus operandi digunakan, bekalan mercun dan bunga api itu dibawa masuk dari Thailand menggunakan perahu sebelum menggunakan lori untuk dihantar ke lokasi transit. Ia rampasan pertama tahun ini dan dijangkakan ianya akan bertambah berikutan permintaan tinggi sempena Tahun Baharu Cina.

“Malah, harga yang dijual juga jauh lebih mahal. Sebagai contoh mercun bola dibeli di Thailand dengan harga RM8 untuk 100 biji, namun di Lembah Klang dijual dengan harga RM100,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori sebanyak RM114,000 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Rusli (tengah) bersama anggotanya memeriksa sebahagian rampasan 84 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM84,000. - Foto Syamsi Suhaimi
Rusli (tengah) bersama anggotanya memeriksa sebahagian rampasan 84 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM84,000. - Foto Syamsi Suhaimi
Berita Harian X