Ahad, 5 Januari 2020 | 6:02pm
KEADAAN rumah yang terbakar di Taman Pagoh Jaya, Muar. NSTP/Ihsan Bomba Dan Penyelamat

Kematian Muhammad Ata tiada unsur jenayah

MUAR: Kematian atlet angkat berat orang kurang upaya (OKU), Muhammad Ata Maarof, 28, disahkan tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata hasil bedah siasat ke atas jenazah Muhammad Ata juga tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Hasil bedah siasat yang selesai kira-kira jam 8 malam tadi mendapati punca kematian mangsa disebabkan terhidu asap dari kebakaran atau ‘smoke inhalation due to domestic fire’,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, BH melaporkan Muhammad Ata, maut dalam kebakaran di rumah keluarganya di Taman Pagoh Jaya, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 11.59 pagi itu, Muhammad Ata, disahkan meninggal dunia akibat terperangkap sebelum rentung dalam kebakaran berkenaan.

Zaharudin dilaporkan berkata, ketika kejadian mangsa berada berseorangan di rumah manakala ibunya, Noriah Mohd Roslan, 66, sedang menjalani kursus haji di Masjid Pagoh.

Muhammad Ata meraih pingat gangsa dalam acara angkat berat kategori 65 kilogram ketika mewakili Johor di Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Ipoh, tahun lalu.

Sementara itu, abang Muhammad Ata, Muhammad Anuar berkata, jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 19 Pagoh Jaya kira-kira jam 11.30 malam tadi.

“Alhamdulillah semuanya dilancarkan. Terima kasih kepada semua pihak, terutama kerajaan Johor serta semua agensi kerajaan yang prihatin dalam mempermudah serta menyalurkan bantuan dalam menguruskan jenazah dan pengebumian adik saya,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X