Isnin, 6 Januari 2020 | 11:40am

Pendakwaan mahu cabar kebolehpercayaan Najib

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yang mengendalikan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak, memohon untuk mencabar kebolehpercayaan bekas Perdana Menteri itu.

Ia berikutan Najib didakwa memberikan kenyataan yang berbeza ketika disoal pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di peringkat siasatan dan ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, permohonan pihaknya dibuat mengikut Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan.

DATUK Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
DATUK Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Sithambaram berkata, Najib sendiri mengakui bahawa terdapat percanggahan serius dalam kenyataan saksinya berbanding apa yang diberitahu beliau kepada SPRM.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu memohon prosiding ditangguhkan sementara bagi menyiapkan hujahan pembelaan.

Katanya, proses mencabar kebolehpercayaan saksi (tertuduh) adalah rumit dan tidak boleh dipandang ringan.

Mohd Nazlan kemudian memerintahkan kedua-dua belah pihak menyediakan hujahan masing-masing selama 30 minit.

DATUK Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
DATUK Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X