Isnin, 6 Januari 2020 | 1:50pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. NSTP/Luqman Hakim Zubir.
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. NSTP/Luqman Hakim Zubir.

Hanya mereka dalam senarai 80 individu akan didakwa

KUALA LUMPUR: Tiada senarai baharu yang akan didakwa di mahkamah kecuali sebahagian daripada 80 individu dan entiti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memulangkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata ketika ini pihaknya sudah mempunyai nama individu dan entiti yang akan didakwa dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, kata beliau, senarai itu tidak akan didedahkan ketika ini dan kemungkinan satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat.

“Tidak ada nama lain selain entiti-entiti yang didedahkan SPRM sebelum ini yang diminta untuk memulangkan semula dana itu tetapi masih enggan berbuat demikian.

"Dalam masa terdekat ini, proses mahkamah akan berlaku dan mereka ini akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001). Semuanya saya akan umumkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran teater, Semarak Pertiwiku yang bakal dianjurkan di Istana Budaya pada 30 dan 31 Januari ini nanti.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Datuk Mohamed Juhari Shaarani serta pelakon, Ungku Ismail, Taufik Hanafi serta Muhammad Azri Ali sebagai pengarah teater.

Minggu lalu, BH mendedahkan SPRM bakal memulakan proses mendakwa di mahkamah terhadap beberapa individu serta entiti yang dikompaun untuk memulangkan semula dana 1MDB.

Difahamkan, mereka yang yang terbabit adalah individu dan entiti yang gagal untuk bekerjasama dan tidak mahu memulangkan semula dana yang dinyatakan SPRM.

BH difahamkan, antara mereka yang terbabit dipercayai adalah kumpulan pemimpin parti politik, yang turut menafikan memperoleh dana berkenaan.

SPRM pada Oktober mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB mengikut Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001.

Latheefa pada sidang media sebelum ini menjelaskan, keseluruhan wang yang disyaki diterima semua individu dan entiti terbabit dianggarkan RM420 juta dengan masing-masing menerima antara RM100,000 hingga RM134 juta.

Berita Harian X