Jumaat, 10 Januari 2020 | 11:42am
Mangsa, Ahmad Lee Abdullah, menunjukkan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas mendakwa ditipu dan dipukau 'Ustaz Rudi'.

Rugi lebih RM30,000 ditipu 'Ustaz Rudi'

TAWAU: Seorang lelaki mendakwa kerugian lebih RM30,000 akibat dipukau lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah masjid di Batu 2 Jalan Apas, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Ahmad Lee Abdullah, 66, mendakwa bertemu dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Ustaz Rudi’ bagi mendapatkan rawatan susulan.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian ketika singgah di sebuah pasar raya di sini, dia didatangi suspek yang menawarkan rawatan berurut, selain membuang penyakit tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, saya membenarkan suspek mengurut lutut saya beberapa minit sebelum kami berjanji untuk bertemu semula pada Khamis.

“Bagaimanapun, ketika bertemu semula di masjid, Ustaz Rudi meminta wang RM3,000 serta barang kemas untuk dibawa solat bagi menghilangkan sakit lutut selain membuang penyakit lain di dalam badan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, suspek menepuk bahunya sebelum mengarahkannya pulang ke rumah mengambil wang dan barang kemas milik isteri berupa seutas rantai dan gelang tangan emas.

“Selepas menyerahkan wang dan barang kemas, dia (Ustaz Rudi) meminta saya pergi membelikannya rokok di kedai berhampiran dan berjanji akan memulangkan semula wang serta barang kemas tadi sebaik selesai solat.

“Saya hanya menyedari ditipu dan dipukau apabila mendapati tiada Ustaz Rudi di kawasan masjid apabila datang semula ke situ,” katanya sambil memberitahu turut meminta bantuan imam mengesan suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di masjid berkenaan.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di IPD Tawau jam 3.23 petang pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X