Selasa, 14 Januari 2020 | 11:21am

Prosiding komital: Mahkamah tolak permohonan Lokman ketepikan kebenaran

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, bagi mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.

Prosiding komital itu susulan Lokman didakwa mengugut saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi terbabit ialah Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, iaitu bekas Pegawai Khas Najib yang merupakan seorang daripada saksi penting dalam kes berkenaan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Lokman dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat bahawa surat tunjuk sebab boleh dikeluarkan oleh pihak lain, selain mahkamah.

“Mahkamah juga mendapati kenyataan oleh Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bersama peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas keputusan mengetepikan kebenaran memulakan prosiding komital terhadapnya yang diperoleh Peguam Negara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X