Selasa, 14 Januari 2020 | 1:11pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

SPRM buat laporan polis komplot fitnah Latheefa

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa individu didakwa berkomplot menyebarkan fitnah terhadap Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.

Laporan dibuat oleh Pegawai Khas Undang-Undang Kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shasha Lyna Abdul Latif, yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, pada jam 9.30 pagi sebelum diambil keterangan selama hampir satu jam.

Beliau kemudian dilihat keluar sambil ditemani oleh Pegawai Khas Media, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Roshazuan Roslan, pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Shasha Lyna ketika ditemui media berkata, pihaknya sudah menyerahkan nama dan identiti beberapa individu, termasuk peguam, yang didakwa menyebarkan tohmahan terhadap SPRM dan Latheefa.

Beliau berkata, tohmahan itu wujud selepas Latheefa mengadakan sidang media yang mendedahkan rakaman perbualan beberapa individu pada 8 Januari lalu.

“Hari ini, saya sudah membuat laporan dan diambil keterangan oleh pihak polis berhubung beberapa individu yang berkomplot menyebarkan tohmahan peribadi, khusus untuk menjatuhkan maruah serta integriti Latheefa.

Pegawai Khas Undang-Undang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Sasha Lyna Abdul Latif menunjukkan laporan polis selepas membuat laporan polis ancaman terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

“Saya juga sudah menyerahkan bukti kepada polis untuk mereka menjalankan siasatan mengenai perkara ini.

“Mereka (pihak berkenaan) menyebarkan tohmahan itu melalui media sosial dan apa yang dilakukan dilihat lebih menyasar untuk menjatuhkan integriti, maruah serta imej Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Latheefa semalam mendakwa wujud komplot jenayah bagi memalsu dan mengedar bahan bertujuan mencalar reputasi peribadi beliau, susulan sidang media khas diadakannya pada 8 Januari lalu yang mendedahkan rakaman audio beberapa perbualan telefon tertentu.

Pada sidang media khas itu, SPRM mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi, dengan klip audio perbualan berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd turut diperdengarkan.

Berita Harian X