Selasa, 14 Januari 2020 | 3:18pm
PGA7 menggagalkan percubaan penyeludup membawa masuk 12 ekor kambing jantan bernilai lebih RM10,000 yang dimuatkan di dalam sebuah kereta bercermin gelap. - Ihsan PGA
Kesemua kambing jenis Boer dirampas anggota PGA7 dengan kerjasama Unit Tiger Platoon Batalion 8 dalam operasi di Pengkalan Haram Lubok Gong, di Rantau Panjang, semalam. - Ihsan PGA

Gagal seludup 12 ekor kambing guna kereta

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA7) semalam menggagalkan percubaan penyeludup membawa masuk 12 ekor kambing jantan bernilai lebih RM10,000 yang dimuatkan di dalam sebuah kereta bercermin gelap dan siap dipasang langsir.

Kesemua kambing jenis Boer itu dirampas anggota PGA7 dengan kerjasama Unit Tiger Platoon Batalion 8 dalam operasi di Pengkalan Haram Lubok Gong, di sini, jam 2.30 petang semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata hasil pemeriksaan mendapati semua kambing itu disusun di dalam kereta yang mana tempat duduk penumpang bahagian belakang sudah dibuang dan dikosongkan bagi memudahkan mereka membawa haiwan terbabit.

Katanya, penyeludup menggunakan modus operandi terbaharu dengan membawa haiwan seludup menggunakan kereta bagi mengabui mata pihak berkuasa.

“Namun, hasil kawalan ketat anggota bertugas, taktik terbabit dapat dikesan, seterusnya menggagalkan penyeludup untuk membawa masuk kesemua kambing yang dipercayai dari Thailand.

“Ketika melakukan rondaan, anggota ternampak sekumpulan lelaki sedang menarik beberapa ekor kambing daripada perahu ke sebuah kereta Toyota Unser berwarna keemasan.

“Sebaik anggota menghampiri kenderaan ini untuk pemeriksaan, sekumpulan lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki perahu,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol, di sini, hari ini.

Azhari berkata, penyeludup bertindak berani membawa kambing menggunakan kereta dalam bilangan yang banyak dan berhimpit dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Kami merampas semua haiwan berserta kenderaan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011.

Berita Harian X