Selasa, 14 Januari 2020 | 7:48pm
BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Kami mahu jaga (kepentingan) kepemimpinan' rujuk kepada PM - Saksi

KUALA LUMPUR: Kenyataan ‘kami mahu menjaga (kepentingan) kepimpinan kami’ oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dalam satu mesyuarat pada 2016, merujuk kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Ali membuat kenyataan berkenaan pada Mesyuarat Penyelarasan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016 yang memutuskan untuk meminda dan menggugurkan beberapa perkara kontroversi daripada laporan awal.

Perkara itu dinyatakan saksi pendakwaan ketujuh, bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan utama.

Sri Ram mengemukakan soalan berkenaan selepas Mahkamah Tinggi mendengar rakaman audio mesyuarat penyelarasan berdurasi dua jam 45 minit yang dibuat Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) JAN, Nor Salwani Muhammad.

Nor Salwani dalam keterangan sebelum ini mengakui meletakkan alat perakam itu dalam bekas pensil Saadatul Nafisah tanpa pengetahuannya sebelum mesyuarat Penyelarasan Laporan Audit 1MDB bermula.

Saadatul Nafisah berkata, apa yang difahami dengan ayat ‘kami mahu menjaga (kepentingan) kepimpinan kami’ ialah merujuk kepada Perdana Menteri.

Sri Ram: Dalam transkrip perbualan ini, ia merujuk kepada Lembaga Pengarah 1MDB... Adakah kamu tahu siapa Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB?

Saadatul Nafisah: Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri.

Sri Ram: Jadi ia adalah tertuduh Najib?

Saadatul Nafisah: Ya.

Sri Ram kemudian mencadangkan kepada saksi bahawa jika Mesyuarat Penyelarasan itu tidak diadakan, maka bukti berhubung pindaan kepada Laporan Akhir Audit 1MDB tidak akan wujud.

Saksi bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Ditanya pindaan itu memberikan faedah kepada pihak mana, Saadatul Nafisah berkata, ia lebih kepada Ali dan negara.

“Ia adalah kerana ia boleh menjejaskan negara dan pasaran saham serta beberapa isu sensitif dalam laporan itu juga tidak perlu dibangkitkan,” katanya.

Dalam prosiding sebelum ini, Ali yang dipanggil selaku saksi pendakwaan keempat mendedahkan bahawa beliau mengadakan mesyuarat penyelarasan itu di pejabatnya membabitkan pihak 1MDB dan beberapa agensi berkaitan selepas diarahkan oleh Najib.

Saadatul Nafisah yang menceritakan lanjut mengenai mesyuarat terbabit, berkata beliau dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mempertahankan penemuan jabatan itu dalam laporan asal Audit 1MDB (sebelum pindaan) walaupun tidak dipersetujui oleh pihak lain.

Beliau berkata, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang hadir pada mesyuarat itu tidak bersetuju dengan pendapat JAN berkaitan laporan terbabit.

“Mereka tidak bersetuju dengan pandangan kami, pandangan Ambrin... ia hanya pandangan yang boleh dipersetujui atau tidak.

“Tetapi sebagai juruaudit, kami perlu memberikan pandangan kami,” katanya.

Antara individu yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ali, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Shukry dan bekas wakil Pejabat Peguam Negara, Tan Sri Dzulkilfi Ahmad.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Berita Harian X