Selasa, 14 Januari 2020 | 8:22pm
 Mohd Isa (dua dari kiri) yang menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, antara 2014 dan 2015. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Isa (dua dari kiri) yang menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, antara 2014 dan 2015. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kes rasuah Isa Samad: Pendakwaan tutup kes, hujahan 23 Mac

KUALA LUMPUR: Selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, antara 2014 dan 2015.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan demikian selepas saksi terakhir pihak pendakwaan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Safari Abdullah, 37, selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Afzainizam berkata pihak pendakwaan menawarkan enam saksi iaitu bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Datuk Faizoull Ahmad, Datuk Dr Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harum Narrashid, Datuk Nik Azman Mohd Zain dan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta setiausaha Mohd Isa, Zuraida Ariffin kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 23 Mac untuk kedua-dua pihak berhujah.

“Mahkamah juga menetapkan 28 Feb untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis,” kata hakim.

Mohd Isa, 71, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh FICSB yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April, 2014 dan 15 Dis, 2015. - BERNAMA

Berita Harian X