Selasa, 14 Januari 2020 | 8:54pm

Kanak-kanak 2 tahun mati dipercayai didera ibu, teman lelaki

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia, dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya, tengah hari semalam.

Kanak-kanak itu meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini, akibat masalah jangkitan kuman.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata doktor yang merawat kanak-kanak itu mengesyaki ada unsur penderaan berdasarkan kecederaan fizikal dialami mangsa.

“Hasil pemeriksaan fizikal kanak-kanak itu mendapati ada kesan lebam di bahagian tangan kiri dan kanan, selain bahagian perut.

“Selain itu, terdapat juga kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, kanak-kanak itu dimasukkan ke HSI kira-kira jam 10.40 pagi Ahad lalu oleh ibunya berusia 22 tahun, berikutan masalah jangkitan kuman yang serius.

Katanya, bedah siasat dijalankan ke atas mangsa mendapati beberapa siri kecederaan pada badan mangsa.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan pada bahagian tengkorak dan usus si mati akibat hentakan objek tumpul.

“Susulan laporan bedah siasat itu, polis mempercayai kematian mangsa berunsurkan jenayah dan membuat tangkapan ke atas ibu kandung mangsa dan teman lelakinya berusia 33 tahun, kira-kira jam 3.54 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan yang bekerja sebagai operator kilang dan teman lelakinya yang tidak bekerja itu sudah lebih setahun menyewa bersama di bilik sebuah apartmen di Kempas, dekat sini.

Katanya, kanak-kanak itu berada di bawah jagaan teman lelaki ibu mangsa setiap kali dia keluar bekerja.

Mohd Taib berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Berita Harian X