Rabu, 15 Januari 2020 | 4:43pm
BH semalam melaporkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
BH semalam melaporkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Mangsa dera disyaki dipukul hingga koma

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia dipercayai didera ibu dan teman lelakinya tengah hari kelmarin, disyaki dipukul sehingga koma.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata polis sedang menumpukan siasatan terhadap kes itu sehingga kanak-kanak terbabit tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital, Ahad lalu.

“Siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa selama lebih 24 jam dipercayai menjadi penyebab utama kematiannya termasuk ususnya pecah.

KETUA Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
KETUA Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

“Siasatan juga mendapati tiada senjata digunakan untuk mendera kanak-kanak itu sebaliknya hanya membabitkan tenaga fizikal suspek.

“Faktor sama ada kanak-kanak itu dipijak, ditendang atau deraan fizikal lain sehingga dia koma dan menghembuskan nafas terakhir turut sedang disiasat dengan teliti, ” katanya ketika ditemui.

BH semalam melaporkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini akibat jangkitan kuman.

Mohd Taib dilaporkan berkata, kanak-kanak itu dimasukkan ke HSI kira-kira jam 10.40 pagi Ahad lalu oleh ibunya yang berusia 22 tahun, berikutan masalah jangkitan kuman yang serius.

Namun bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati beberapa siri kecederaan pada badan mangsa.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada tengkorak dan usus mangsa akibat hentakan objek tumpul.

Bertindak atas laporan bedah siasat itu, polis yakin kematian mangsa berunsurkan jenayah dan membuat tangkapan ke atas ibu mangsa dan teman lelaki yang berusia 33 tahun, kira-kira jam 3.54 pagi semalam.

Kedua-dua suspek itu direman tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X