Jumaat, 17 Januari 2020 | 3:56pm

Tular bayi 5 bulan maut, polis tunggu laporan bedah siasat

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan bedah siasat seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Bukit Jalil, dekat sini, semalam selepas dihantar ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), sekitar kawasan sama.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata pihaknya menerima laporan pada hari kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Laporan polis ada dibuat di Balai Polis Bukit Jalil, semalam. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pada masa sama kita masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kejadian menimpa bayi itu tular di media sosial dengan ada yang mendakwa ibu bapa mangsa menghantar anaknya yang berada dalam keadaan sihat dan ceria ke TASKA itu, pagi semalam.

Bagaimanapun, kira-kira jam 4.45 petang hari sama, ibu bapa mangsa dihubungi pihak klinik yang memaklumkan anak mereka sudah meninggal dunia.

Ibu bapa bayi itu dikatakan terkilan apabila mengetahui anaknya dihantar oleh pihak TASKA ke klinik itu dalam keadaan tidak bernyawa.

Berita Harian X