Jumaat, 17 Januari 2020 | 8:36pm

Empat pelajar dikhuatiri lemas

DUNGUN: Empat pelajar Politeknik Dungun dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, petang tadi.

Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dari Kuantan; Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, dari Kemaman; Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dari Kuala Terengganu dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee dari Melaka, dikatakan mandi di pantai terbabit kira-kira jam 6 petang.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Mohamad Azrul Izzham Zulkifli, berkata orang awam memaklumkan enam pelajar Politeknik Dungun mandi di pantai berkenaan dan empat daripadanya dikhuatiri lemas.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.33 petang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Dungun serta BBP Chukai diarahkan ke lokasi kejadian dengan 10 anggota.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Dungun, Mohd Zaiharis Sandar, berkata sebaik pasukan tiba di tempat kejadian, keempat-empat pelajar terbabit dilaporkan sudah tenggelam ke dasar laut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan serta-merta namun keadaan ombak besar menyulitkan anggota, namun kita terus berusaha menjalankan pencarian di pesisir pantai,” katanya di sini, malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata 30 anggota keselamatan merangkumi pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggerakkan operasi SAR.

Katanya, pihak pengurusan Politeknik sudah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, seorang pelajar yang terselamat, Hazman Zamili, 21, berkata keempat-empat rakannya dipercayai dibadai ombak kuat ketika mandi.

“Keadaan itu menyebabkan mereka terpisah sebelum dikhuatiri tenggelam,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Selain Hazman yang berasal dari Kelantan, turut terselamat ialah rakannya, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 20, yang berasal dari Rawang, Selangor.

Hazman berkata, ia adalah kunjungan pertama mereka ke pantai itu untuk mandi, malah keadaan air laut amat tenang dan tidak berombak.

“Itu menyebabkan kami sepakat turun mandi di situ sebelum kami tiba-tiba kami dipukul ombak.

“Saya dan Irfan tidak berani menyelamatkan rakan lain kerana air sangat dalam," katanya.

Katanya, beberapa pengunjung yang menyaksikan kejadian itu sempat melemparkan pelampung namun gagal dicapai kerana dihanyutkan ombak.

Beliau dan Irfan sempat berenang ke daratan, namun teriakan supaya empat rakan lain menyelamatkan diri tidak dapat didengari kerana semuanya ditelan ombak sebelum hilang dari pandangan.

Empat pelajar Politeknik Dungun dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, petang tadi. - NSTP/Balai Bomba dan Penyelamat Dungun

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X