Jumaat, 17 Januari 2020 | 8:58pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Muhammed Yusoff Rawther. - Foto NSTP

Anwar kemuka saman fitnah minggu depan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan saman fitnah terhadap Muhammed Yusoff Rawther pada minggu hadapan berhubung kandungan akuan berkanun bekas penyelidik PKR itu yang mendakwa diperlakukan secara tidak senonoh.

Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, menerima arahan daripada Presiden PKR itu beberapa hari lalu, untuk memulakan tindakan undang-undang.

Ramkarpal berkata, berikutan siasatan polis terhadap dakwaan yang dibuat Muhammed Yusoff dalam akuan berkanun itu sudah selesai, Peguam Cara Negara baru-baru ini memutuskan Anwar tidak akan didakwa berhubung dakwaan perlakuan terbabit.

“Saya akan mengambil langkah perlu untuk memfailkan saman itu minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 14 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada cukup bukti untuk mendakwa Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadap Muhammed Yusoff.

Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek, berkata wujud percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan terhadap mana-mana individu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain mengikut kanun sama.

Muhammed Yusoff sebelum ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 7 Disember tahun lalu, meminta polis menyiasat akuan berkanunnya yang antara lain mendakwa diperlakukan secara tidak senonoh oleh Anwar.

Anwar bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan turut membuat aduan polis.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X