Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:01pm

Pagar rumah, kereta wartawan disimbah cat

GEORGETOWN: Pagar rumah dan kereta milik wartawan sebuah portal di sini, disimbah cat merah dipercayai akibat perbuatan khianat.

Wartawan yang juga penolong editor, portal Malaysiakini, Susan Loone, 56, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi di rumahnya di Lorong Delima 16, Island Glades, dekat sini.

Ketika kejadian, ibunya mahu menyiram pokok bunga sebelum terlihat kesan cat merah pada pagar dan kereta Persona miliknya.

“Minggu lalu, ada individu tidak dikenali menaiki motosikal berkuasa tinggi menekan loceng rumah saya sebanyak dua kali dan beredar.

“Saya tidak tahu kemahuan mereka atau siapa yang disasarkan. Laporan polis mengenainya sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Loone berkata dia dan ibunya kini berada dalam keadaan bimbang dan rasa terganggu dengan kejadian itu.

Katanya, kejadian berkenaan pertama kali dialami dan mengesyaki ia adalah perbuatan khianat.

“Mungkin ia berkaitan dengan berita yang saya laporkan tetapi saya menulis pelbagai berita setiap hari, tidak tahu berita yang mana satu,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X