Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:47pm

Belukar lapan hektar terbakar

ALOR SETAR: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar berjaya mengawal kebakaran membabitkan belukar seluas lapan hektar daripada merebak ke bangunan Hospital Lama Alor Setar di sini, hari ini.

Anggota bomba mengambil masa lebih satu jam untuk memadam kebakaran yang mengakibatkan asap tebal, sekali gus mengganggu penglihatan pengguna lalu lintas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata api merebak dengan cepat adalah disebabkan faktor angin, cuaca panas dan rumput kering.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 3.57 petang.

“Sepasukan anggota tiba di lokasi bersama 15 anggota dan tiga jentera, termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah lori tangki dan sebuah motosikal RIM.

“Operasi turut dibantu sepasukan anggota BBP Jalan Raja dan tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya, Kampung Berjaya dan Taman Mutiara.

“Kebakaran membabitkan belukar yang luas dan api marak dengan pantas disebabkan faktor angin yang kencang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, tindakan anggota memadam kebakaran dengan pantas dapat menghindari api daripada merebak ke hospital dan deretan kedai.

Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.47 petang.

“Operasi tamat sepenuhnya 6.02 petang dan tiada kemalangan jiwa atau dilaporkan,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X