Sabtu, 18 Januari 2020 | 12:12am
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - Foto BERNAMA

Kemalangan empat kenderaan, Lebuhraya Persekutuan sesak 5 km

KUALA LUMPUR: Laluan Lebuhraya Persekutuan mengalami kesesakan teruk susulan kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran pintu gerbang Kota Darul Ehsan dari arah pusat bandar ke Klang, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 petang itu, sebuah bas yang berada di lorong kedua dilaporkan melanggar belakang sebuah lori.

Ia menyebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh dua kenderaan, masing-masing sebuah kereta dan jip.

Susulan pelanggaran, lori membawa muatan minyak masak terpakai itu terbalik manakala muatan dibawa tumpah di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pemandu lori terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

“Pemandu dan penumpang kenderaan lain terselamat manakala pemandu lori dirawat di unit kecemasan pesakit luar.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala dipanggil ke lokasi untuk membantu membersihkan tumpahan minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi memastikan punca kemalangan dan saksi kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Al Rassid Mohd Borhanudin di talian 019-9905570.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kemalangan menyebabkan ratusan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan lebih lima kilometer untuk beberapa jam.

Berita Harian X