Sabtu, 18 Januari 2020 | 2:00pm
KETUA Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon. - Foto Rosela Ismail

Pengendali TASKA akan dipanggil bantu siasatan bayi maut

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil pengendali Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Bukit Jalil, dekat sini, untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kematian seorang bayi, kelmarin.

Bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di sekitar kawasan sama selepas dihantar ke taman asuhan terbabit.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata setakat ini, pihaknya masih mengklasifikasikan kes maut bayi berusia lima bulan itu sebagai mati mengejut.

“Laporan bedah siasat yang dibuat pakar patologi hospital semalam, mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah. Bagaimanapun, laporan analisa makmal (bagi mengesahkan punca kematian bayi itu) belum selesai lagi.

“Pada masa sama, kita akan rakam percakapan individu dan pihak dikaitkan dengan kes ini termasuk pengendali TASKA itu bagi membantu siasatan,” kataya pada BH, hari ini.

Kejadian menimpa bayi itu tular di media sosial dengan ada yang mendakwa ibu bapa mangsa menghantar anaknya yang berada dalam keadaan sihat dan ceria ke TASKA itu, pagi kelmarin.

Bagaimanapun, kira-kira jam 4.45 petang hari sama, ibu bapa mangsa dihubungi pihak klinik yang memaklumkan anak mereka sudah meninggal dunia.

Ibu bapa bayi itu dikatakan terkilan apabila mengetahui anaknya dihantar oleh pihak TASKA ke klinik itu dalam keadaan tidak bernyawa.

Berita Harian X