Sabtu, 18 Januari 2020 | 11:01pm
Bot Maritim menjalankan Operasi mencari empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Imran Makhzan

Tak sanggup kehilangan anak

DUNGUN: “Saya hanya ada dua orang anak sahaja. Kalaulah ditakdirkan Amir meninggal saya merasa amat sedih,” kata Zulkiflee Zakaria, 52.

Beliau berkata, selain Mohamad Amir Izzudin, 21, dia mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 14 tahun.

Katanya, beliau dan isteri, Rohani Ariffin, 45, sangat menyayangi kedua-dua anak mereka dan Amir menjadi harapan keluarga.

“Luluh hati saya sebaik saja mendapat panggilan yang memaklumkan dia (Amir) bersama tiga rakannya lemas,” katanya.

Anggota Bomba dan Penyelamat menjalankan Operasi mencari empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Imran Makhzan

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun, Mohamad Zul Fahmi Zuki, 21, Mohamad Amir, 21, Mohammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak besar di pantai Teluk Bidara.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dan Hazman Zamili, 21, terselamat dalam kejadian itu.

Zulkiflee berkata, anaknya itu aktif dalam silat olahraga sejak dari sekolah menengah dan meneruskan minat terhadap sukan kegemarannya ketika meneruskan pelajaran di politeknik berkenaan.

“Atas kesungguhannya itu, dia terpilih mewakili Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor pada Jun nanti.

“Awal Januari ini, ketika saya menghantarnya ke stesen bas untuk pulang ke Dungun, dia ada memberitahu untuk kerap berlatih dengan gurunya, Mohd Faizul Abu Bakar, 39, yang juga pensyarah politeknik,”katanya yang bekerja dengan Telekom Malaysia (TM).

Zulkiflee berkata, anaknya itu turut memasang niat untuk mengharumkan nama Melaka dan mengondol pingat emas pada kejohanan SUKMA itu.

“Sepanjang pulang bercuti, anaknya itu tidak menunjukkan sikap yang pelik dan saya tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya.

“Petang semalam, dia ada menaikkan status Facebook dengan menyertakan gambar keindahan pantai Teluk Gadung itu yang cantik dengan menulis ‘Rest Time’.

“Saya baca status itu pada jam 7.15 petang dan saya ingat dia hanya bersiar di pantai itu dengan rakannya dan tidak mandi pantai di situ,” katanya.

Berita Harian X