Ahad, 19 Januari 2020 | 2:19pm
Keadaan kebakaran hutan di atas bukit Kampung Wang Perah, Jitra. - Ihsan Bomba
Keadaan kebakaran hutan di atas bukit Kampung Wang Perah, Jitra. - Ihsan Bomba

Lebih 6 hektar kawasan hutan atas bukit dijilat api

JITRA: Kebakaran membabitkan lebih enam hektar kawasan hutan atas bukit di Kampung Wang Perah, di sini, berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 22 jam selepas api dikesan pada jam 9 malam kelmarin.

Atas faktor keselamatan, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra hanya dapat melakukan pemadaman mulai jam 11 pagi semalam dengan kira-kira sejam mendaki bukit setinggi hampir 200 meter itu.

Sebelum itu, sepasukan anggota BBP berkenaan yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, bergegas ke lokasi kejadian sejurus kebakaran dikesan untuk memantau keadaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata api merebak dengan cepat disebabkan faktor angin, rumput dan daun kering serta cuaca panas.

“Operasi memadamkan kebakaran itu bermula pagi semalam. Sepasukan anggota BBP Jitra mengambil masa agak lama untuk mendaki bukit itu kerana curam, selain terpaksa membawa peralatan memadam kebakaran.

Anggota Bomba meredah bukit untuk memadam api di atas puncak bukit Kampung Wang Perah, Jitra. - Ihsan Bomba
Anggota Bomba meredah bukit untuk memadam api di atas puncak bukit Kampung Wang Perah, Jitra. - Ihsan Bomba

“Bagaimanapun, mereka dapat mengawal api daripada terus merebak pada jam 4.15 petang sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.39 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi itu membabitkan 15 anggota dan pegawai serta tiga jentera daripada BBP Jitra, bersama sebuah lori tangki air daripada BBP Alor Setar.

“Pasukan BBP Jitra memadamkan kebakaran dengan membentang 15 gulung hos ke atas bukit itu bersama dua pancutan dan turut dibantu lori tangki air daripada BBP Alor Setar.

“Kebakaran dilaporkan tidak membabitkan mangsa dan turut dipantau melalui dron Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba turut dihantar ke lokasi, hari ini, untuk melakukan pemantauan kerana berkemungkinan besar api boleh tercetus semula jika cuaca panas berpanjangan.

Berita Harian X