X
Isnin, 20 Januari 2020 | 10:23am
BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Saifullizan Tamadi
BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Saifullizan Tamadi

Jatuh tepi kandang saksi, prosiding Tengku Adnan ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dihadapi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terpaksa ditangguhkan hari ini, ekoran kecederaan lutut kanan dialami bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, Jumaat lalu.

Tengku Adnan, 69, mengalami kecederaan itu selepas terjatuh di tepi kandang saksi, sejurus selesai memberi keterangan pada perbicaraan bela diri hari pertama di Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat lalu.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari menyebabkan Tengku Adnan terpaksa dipapah keluar dari kandang saksi oleh ahli keluarga dan pembantunya.

Peguam bela, Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, memberitahu mahkamah, yang anak guamnya diberikan cuti sakit selama enam hari bermula 17 Januari lalu berikutan kecederaan yang dialaminya.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan melalui imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati beliau tidak mengalami kecederaan serius.

"Pihak kami memohon maaf atas kesulitan dan meminta prosiding perbicaraan dilapangkan," katanya

Permohonan penangguhan perbicaraan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Sehubungan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 8 hari bermula 18 hingga 20 Februari, 4 dan 5 Mac serta 25 hingga 27 Mac untuk menyambung perbicaraan.

Terdahulu, kes itu ditetapkan untuk perbicaraan dengan menyambung keterangan Tengku Adnan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah menerima wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik THSB yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X