Isnin, 20 Januari 2020 | 4:38pm

Ada muslihat panggil pakar - Sithambaram

KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memanggil pakar tulisan tangan Australia bagi mengesahkan tandatangannya pada dokumen SRC International, mempunyai motif tersembunyi dan bukan demi kepentingan keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, dalam hujahannya di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata permohonan bekas Perdana Menteri itu juga bukan dibuat dengan niat yang baik (bona fide).

Sithambaram berhujah, permohonan itu dibuat dengan alasan Najib tidak dapat mengesahkan dokumen yang mengandungi tandatangannya membabitkan tujuh dokumen antaranya Minit Mesyuarat Pemegang Saham berkaitan pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Sebelum ini beliau (Najib) menyatakan pernah melihat dokumen yang dikemukakan di mahkamah itu dan mengesahkan ia adalah dokumen salinan.

“Sekarang apabila didapati dokumen terbabit menunjukkannya adalah pengarah bayangan (individu yang tidak menjalankan operasi syarikat dan bukan pemegang saham majoriti tetapi arahannya diikuti oleh pengarah syarikat), beliau kini mengubah pendirian.

“Beliau (Najib) sepatutnya meminta dokumen asal ketika ia mula-mula dikemukakan di mahkamah dahulu,” katanya.

Sithambaram menegaskan, tindakan pihak pembelaan untuk memanggil pakar tulisan tangan itu hanya alasan dan muslihat taktikal untuk melemahkan kes pendakwaan ketika pihaknya (pendakwaan) sudah menutup kes.

Hujah Sithambaram, kes pendakwaan adalah berdasarkan kepada bukti langsung iaitu Najib menyatakan dokumen terbabit ditandatangani olehnya, malah Ahli Parlimen Pekan itu tidak pernah mengadu kepada Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa ia (tandatangan) dipalsukan.

“Kes pendakwaan adalah dengan anggapan bahawa beliau menandatangani dokumen berkenaan... Oleh itu kami bergantung kepada bukti langsung, jadi tidak ada pakar yang dipanggil.

“Dalam kes kami, Minit Mesyuarat Pemegang Saham akan menunjukkan bahawa tertuduh secara efektifnya menjalankan urusan operasi syarikat SRC.

“Agak tidak masuk akal apabila pihak pembelaan mempertikaikan beberapa eksibit mereka sendiri... Dulu mereka agak gembira dengan dokumen berkenaan tanpa mengetahui sejauh mana impak ke atas kes ini,” katanya.

Hujah Sithambaram lagi, tindakan pendakwaan untuk menyemak bukti yang dikemukakan di mahkamah itu dibuat selepas beliau memikirkan perkara itu kemudian dan ia pula tidak disokong alasan yang kukuh.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, menepis tanggapan bahawa pakar yang akan dipanggil, Steven Strach ‘diupah’ untuk menyebelahi pihak pembelaan, dengan menegaskan bahawa pandangan pakar hanya akan ditentukan selepas keterangan didengar di mahkamah.

Peguam itu berkata, walaupun disahkan bahawa dokumen terbabit mengandungi tandatangan Najib, tidak bermakna anak guamnya yang menurunkan tandatangan itu, malah menurutnya pihak pendakwaan sendiri tidak berurusan dengan dokumen asal.

Katanya lagi, pihaknya hanya mengetahui beberapa perkara ketika ia timbul pada prosiding perbicaraan dan tidak diberitahu kepada mereka sebelum manakala perbualan pesanan ringkas Blackberry Messenger (BBM) juga hanya didedahkan ketika bicara.

Hujahan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram. - Foto NSTP
Berita Harian X