Khamis, 23 Januari 2020 | 5:02pm

Macau Scam perdaya pesara kilang, rugi lebih setengah juta

BUKIT MERTAJAM: Taktik sindiket Macau Scam menyamar sebagai kakitangan pos dan pegawai polis berjaya memperdaya seorang pesara kilang hingga menyerahkan wang lebih setengah juta miliknya, Disember lalu.

Bagaimanapun, mangsa berusia 61 tahun hanya menyedari ditipu selepas sindiket yang berjanji mahu menghubunginya tiga minggu kemudian, gagal berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata mangsa sebelum itu dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Rohani dari Poslaju Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi, 11 Disember lalu.

Wanita itu menanyakan sama ada mangsa membuat penghantaran barang Poslaju dari Kuantan, Pahang ke Miri, Sarawak.

Katanya, suspek kemudian memberitahu menemui kad pengenalan dan sekeping kad kredit dipercayai milik mangsa ketika imbasan dibuat pada bungkusan yang dihantar itu.

“Mangsa seterusnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kuantan, Pahang dan bercakap dengan seorang anggota polis yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Cheong.

“Sarjan itu meminta mangsa memberikan maklumat peribadi dan semakan yang dibuat selepas itu kononnya mendapati, mangsa terbabit dengan satu kes penggubahan wang haram.

“Panggilan kemudian disambungkan pula kepada seorang lagi anggota dikenali sebagai Sarjan Ang bagi tujuan membuat laporan dan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek seterusnya meminta mangsa mengeluarkan semua wang simpanannya dan memasukkan ke dalam satu akaun lain miliknya bagi tujuan siasatan oleh pihak audit Bank Negara.

Percaya dengan helah suspek, mangsa memasukkan wang berkenaan secara berperingkat bermula dari 13 hingga 26 Disember lalu.

“Sarjan Ang turut meminta mangsa membuat Kad ATM bagi akaun terbabit dan memberikan semua maklumat akaun itu kepadanya bagi tujuan siasatan Bukit Aman dan akan menghubunginya semula selepas tiga minggu.

“Tanpa ragu, mangsa menyerahkan semua maklumat terbabit namun, selepas tempoh itu, tiada panggilan diterima,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian membuat semakan ke atas akaunnya dan mendapati semua wang miliknya berjumlah RM618,302 lesap.

Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X