X
Jumaat, 24 Januari 2020 | 7:32pm
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. - NSTP/Syarafiq Abd Samad.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. - NSTP/Syarafiq Abd Samad.

Op Selamat 16: 10,323 kemalangan jalan raya dalam tempoh 6 hari

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10,323 kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh enam hari Op Selamat 16/2020, sempena Tahun Baharu Cina.

Secara keseluruhan sebanyak 15,888 kenderaan dicatat dalam jumlah kemalangan yang direkodkan sepanjang Op Selamat 16 yang bermula sejak 18 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata jumlah kemalangan maut yang direkodkan dalam tempoh Op Selamat 16 itu adalah sebanyak 82 kes.

“Daripada jumlah berkenaan, Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,206 kes; Johor dengan 1,595 kes dan Kuala Lumpur merekodkan 1,264 kes.

“Bagi kes kemalangan maut, Selangor juga turut mencatat jumlah tertinggi dengan 18 kematian; Sarawak dengan 12 kematian; manakala Kedah dan Johor masing-masing dengan 10 kematian,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Katanya, jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang Ops Sikap 16 ini adalah sebanyak 152,226 dan kesalahan membabitkan saman enam kesalahan utama adalah sebanyak 94, 268 yang bersamaan dengan 61.9 peratus daripada jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan.

Enam kesalahan utama itu adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu; tidak mematuhi lampu isyarat merah; memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong barisan ‘Q’ dan memotong di garisan berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Februari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X