Sabtu, 25 Januari 2020 | 9:47am
Ku Shahimbran Firdus Ku Shah Budin, 33, menunjukkan kedua belah telinga anak kucing yang ditemui di medan selera Batu 13, yang dipercayai digunting individu tidak bertanggungjawab.- Foto ihsan pembaca

Tergamak gunting telinga anak kucing

JITRA: “Entah di mana silapnya anak kucing tu sampai ada yang sanggup gunting kedua belah telinganya dan dibiarkan merayau kelaparan.

“Kalau tak suka haiwan macam ini, tak payah la sampai mendera,”. Itu luahan Muhammad Ayman Abdullah, 33.

Dia yang juga pemandu lori menemui kucing betina itu di kawasan medan selera Batu 13, dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, ketika ditemui anak kucing itu dalam keadaan lapar dan kesejukan.

“Ketika itu saya dan rakan, Ku Shahimbran Firdus Ku Shah Budin, 33, sedang minum di medan selera itu selepas habis waktu bekerja dan ternampak kucing itu menggeselkan kepalanya di kaki saya.

“Waktu itu saya nampak kucing itu seperti kelihatan lemah dan mungkin kedua belah telinganya baru digunting,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Ayman berkata, disebabkan kasihan melihat haiwan itu, dia memberi cebisan makanan kepada anak kucing berkenaan.

Katanya, rakannya itu kemudian membawa kucing berkenaan pulang ke rumah untuk menjaganya.

“Memang manusia sekarang kejam sampai binatang pun sanggup mereka dera.

“Saya tengok pun jadi geram sebab kucing tak pandai melawan, apa yang manusia buat padanya, ia reda,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X