Ahad, 26 Januari 2020 | 9:07am
Tiga maut dalam satu kemalangan jalanraya membabitkan lima kenderaan motosikal di Kilometer 201 arah barat ke Maran Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), malam tadi. - Foto ihsan Pembaca

Ketua Pemuda UMNO antara 3 maut nahas konvoi

MARAN: Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Kemap di sini antara tiga yang maut dalam nahas membabitkan lima motosikal di Kilometer 201 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat sini malam tadi.

Selain Azlee Mat Daud, 39, yang juga seorang kontraktor, dua lagi mangsa adalah pekerja bengkel besi, Muhammad Amirul Faris Abdullah, 25, dan pekerja am, Syamil Nazir, 32.

Mereka bersama dua yang lain, Mohd Issham Sulaiman, 39, yang juga kontraktor dan Mohd Firdaus Shamsudin, 37, masing-masing berkonvoi menunggang motosikal ke Kuantan sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Mohd Issham dan Mohd Firdaus dilaporkan cedera dalam nahas kira-kira jam 9.05 malam berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang itu.

Semua lima mangsa berasal dari daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata semua mangsa dalam perjalanan dari arah Barat menghala Maran melalui LPT ketika kejadian terbabit.

“Nahas dipercayai berpunca apabila lima motosikal bergesel sesama sendiri lalu terjatuh di lorong laju, menyebabkan tiga daripada mereka maut dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Semua mangsa dipercayai berkonvoi ke Kuantan untuk bercuti, makan dan bersiar-siar berdasarkan siasatan menerusi Facebook dan keterangan,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ahli DewanUndangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, berkata Azlee adalah pemimpin Pemuda UMNO cawangan yang sangat aktif menjalankan program-program kemasyarakatan setempat.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar buat UMNO Bahagian Maran kerana beliau sangat baik dengan saya dan saya sangat terkejut dengan berita ini,” katanya.

Berita Harian X