Isnin, 27 Januari 2020 | 12:12am
Polis mengesahkan satu video yang tular berkaitan kemalangan membabitkan dua bas dan beberapa kenderaan lain adalah kemalangan 10 tahun lalu.

Itu video lama...

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan satu video yang tular berkaitan kemalangan membabitkan dua bas dan beberapa kenderaan lain adalah kemalangan 10 tahun lalu.

Sambil meminta orang ramai tidak menyebarkan video itu dengan dakwaan ia baru berlaku, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata orang ramai perlu menghormati perasaan keluarga mangsa.

“Itu adalah rakaman kejadian kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan arah ke ibu negara pada 2010.

“Polis minta orang ramai berhenti menyebarkan video berkenaan demi menghormati perasaan keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Hari ini tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan situasi sejurus berlaku satu kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan dua buah kereta di sebuah lebuh raya dengan keterangan mendakwa ia berlaku di Genting Highland, hari ini.

Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan itu adalah kemalangan lama yang berlaku pada 10 Otkober 2010 di Kilometer 223 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Negeri Sembilan yang mengorbankan 13 nyawa manakala 38 lagi cedera.

Berita Harian X