Selasa, 28 Januari 2020 | 5:35pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

Audio: Lebih ramai akan dipanggil

CHERAS: Polis akan memanggil lebih ramai lagi individu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes sembilan klip audio yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ketika ini, pihaknya perlu diberikan ruang dan masa untuk menjalankan siasatan.

“Setakat ini, kita sudah memanggil Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk memberi keterangan.

“Mengenai keaslian pemilik suara rakaman audio berkenaan, polis masih menyiasat lagi. Beri kami masa untuk menyiasat dan mengenal pasti kesemua rakaman suara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Video Korporat dan Lagu Tema Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan selama hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Selain Latheefa, turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Abdul Azeez yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Berita Harian X