Selasa, 28 Januari 2020 | 11:57pm
Anggota polis membuat pemeriksaan di tempat kejadian dua kanak-kanak dilaporkan terjatuh dari tingkat empat sebuah kuarters guru di Jalan Sungai Pusu. - NSTP/ihsan pembaca

Adik maut, kakak cedera jatuh dari tingkat 4

GOMBAK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut manakala kakaknya berusia enam tahun cedera parah selepas terjatuh dari tingkat empat, kuarters guru di sebuah sekolah berasrama di Jalan Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Kejadian disedari oleh ibu mangsa sekitar jam 5.30 petang tadi selepas melihat dua anaknya itu terbaring di kawasan lapang di bawah rumah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata ibu mangsa kemudian dengan dibantu jiran segera membawa anaknya ke Hospital Selayang.

“Sekitar jam 6.02 petang semasa wanita terbabit berada di zon merah, doktor mengesahkan anaknya berusia tiga tahun meninggal dunia manakala kakaknya patah tangan dan kaki.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit meninggalkan anaknya bersama suami ketika dia pergi bekerja,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Arifai berkata, semasa kejadian kedua-dua mangsa berada bersama bapa mereka di rumah sebelum bapa dilaporkan keluar sebentar.

“Suaminya memberitahu keluar sebentar meninggalkan anak mereka di dalam rumah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Berita Harian X