Rabu, 29 Januari 2020 | 12:15am
Dua mangsa cedera parah di kepala, tangan dan kaki selepas diserang babi tunggal di Kampung Jeniang. - NSTP/Ihsan Pembaca

Tiga parah diserang babi hutan

GURUN: Tiga lelaki parah manakala seorang lagi cedera selepas diserang babi hutan di Kampung Jeniang dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang, babi itu pada mulanya menyerang seorang pekerja kedai makan, Ibrahim Sulong, 31, sehingga menyebabkan dia cedera di kaki dan badan.

Babi itu kemudian menyerang seorang lagi penduduk, Shariff Yunus, 70, yang ketika itu sedang berehat di halaman rumahnya.

Anak mangsa, Shamsul, 44, berkata ketika kejadian dia berada di rumahnya sebelum mendengar abangnya Sharin, 50, menjerit meminta tolong.

“Rumah saya hanya bersebelahan dengan rumah bapa apabila sampai saya melihat abang sedang bergelut dengan babi berkenaan, manakala bapa sudah cedera dan dipenuhi darah.

“Ketika itu abang cuba membuka mulut babi yang sedang menggigit tangannya, saya terus mencapai kayu dan memukul babi berkenaan di kepala, selepas dua kali saya pukul, babi itu menyerang saya pula.

“Saya cuba menepis serangan babi terbabit. Kemudian secara tiba-tiba berhenti menyerang saya dan pergi ke kawasan berlumpur berhampiran rumah bapa dan berkubang di situ,” katanya dihubungi malam ini.

Shamsul berkata, dia kemudian terus menarik bapa dan abangnya masuk ke rumah sebelum menghubungi ambulans.

Shamsul berkata, bapa dan abangnya dibawa dengan ambulans ke Hospital Sik dan mereka dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan operasi memburu babi berkenaan sedang dilakukan.

Berita Harian X