Khamis, 30 Januari 2020 | 9:33pm
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

183 maut sepanjang 12 hari Ops Selamat 16

KUALA LUMPUR: Sejumlah 17 lagi kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan pada hari ke-12 Ops Selamat 16 semalam, yang dijalankan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 183 kematian direkodkan sejak Ops Selamat 16 bermula pada 18 Januari lalu, membabitkan 166 kemalangan maut di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata sepanjang tempoh sama juga, sebanyak 18,830 kemalangan direkodkan membabitkan 27,627 kenderaan.

“Penunggang dan pembonceng motosikal masih menyumbang angka kematian tertinggi dengan 119 mangsa, manakala 103 lagi mengalami cedera parah dan 178 cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk jumlah kemalangan, katanya Selangor masih mencatat angka tertinggi dengan 5,302 kes, diikuti Johor (2,944), Kuala Lumpur (2,095), Perak (1,584) dan Pulau Pinang (1,491).

“Selangor turut mencatat jumlah kemalangan maut tertinggi dengan 28 kes, diikuti Johor (24), Sarawak (16), manakala Pahang dan Kelantan, masing-masing dengan 15 kemalangan.

“Jumlah kematian tertinggi juga direkodkan Selangor dengan 30 kematian, Johor (27), Sarawak (18), Pahang (17), Kelantan (17) dan Kedah (15),” katanya.

Azisman berkata, setakat ini 313,396 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 197,454 saman atas enam kesalahan utama jalan raya iaitu menggunakan telefon bimbit, tidak patuh lampu isyarat, memandu lebih had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar.

Ops Selamat 16 akan berkuatkuasa selama 15 hari sehingga Sabtu ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X