Sabtu, 1 Februari 2020 | 8:35am

Peragut dicekup orang awam

Oleh Nor Azizah Mokhtar

[email protected]

KUALA LUMPUR: Seorang peragut terpaksa berputih mata apabila dicekup oleh mangsa ragut dengan bantuan orang awam dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Selayang Baru dekat sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, seorang lelaki berusia 33 tahun dikatakan baru selesai membeli buah di sebuah gerai dan ketika dia sedang masuk ke dalam kereta, seorang penunggang motosikal meragut rantai emas dipakainya.

Sebaik sahaja diragut, mangsa terus memecut kenderaannya dan mengejar motosikal suspek sehingga ke Jalan Selayang Indah sebelum kereta mangsa terlanggar sebuah lori yang di parkir di tepi jalan.

Pada masa yang sama, motosikal suspek turut terbabas dan jatuh tidak jauh daripada kenderaan mangsa.

Mangsa terus mengambil kesempatan itu untuk menangkap suspek dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) kemudian ke lokasi sebaik pihak polis menerima aduan berhubung kejadian itu.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha 135 LC milik suspek adalah palsu.

“Pemeriksaan badan dijalankan menemui sebiji pil disyaki pil dadah jenis Erimin 5 dalam genggaman tangan kanan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya lagi, semakan lanjut mendapati suspek yang juga lelaki tempatan berusia 24 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan tujuh rekod jenayah lain.

“Buat masa ini rantai emas milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM3,000 belum ditemui dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Suspek akan direman dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X