Isnin, 3 Februari 2020 | 7:04pm
Mayat Mohd Amirul (gambar kecil) ditutup dengan kain putih di dewan badminton di Jitra, Kedah. - Foto ihsan pembaca
Mayat Mohd Amirul (gambar kecil) ditutup dengan kain putih di dewan badminton di Jitra, Kedah. - Foto ihsan pembaca

Muntah sebelum meninggal ketika bermain badminton

JITRA: Seorang pelajar semester enam institusi perguruan di sini, meninggal dunia ketika bermain badminton malam Sabtu lalu, dipercayai akibat

Sindrom Koroner Akut (Acute Coronary Syndrome).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat Unit Forensik Hospital Jitra yang dilakukan bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata, tiada sebarang kesan kecederaan yang berunsurkan jenayah ditemui sepanjang bedah siasat dilakukan.

Katanya, dalam kejadian jam 10.30 malam Sabtu lalu, mangsa, Mohd Amirul Ikromi Mohd Asri, 23, meninggal dunia ketika bermain badminton bersama rakannya di sebuah dewan di pekan Jitra, 2, dekat sini.

Mangsa yang menetap di Kampung Sungai Korok, Telaga Batu, Air Hitam, di sini dikatakan muntah dan tidak sedarkan diri ketika bermain badminton dengan rakannya.

“Pihak Hospital Jitra (Unit Kecemasan) kemudian menghubungi bilik kawalan Balai Polis Jitra dan mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.45 malam.

“Anggotanya kemudian pergi ke tempat kejadian dan hasil temubual saksi serta pemeriksaan fizikal si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Jenazah mangsa juga sudah dituntut keluarganya untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Muhamad, 20-an, berkata dia sempat bertemu arwah pada jam 4 petang Sabtu dan turut mengajaknya bermain badminton pada sebelah malam.

“Namun, saya memberitahunya saya ada urusan lain dan kami tak sembang banyak sebelum saya pulang ke rumah sewa. Namun saya terkejut apabila seorang daripada rakan memberitahu arwah sudah meninggal dunia.

Sebelum itu, dia nampak sihat pada hari kejadian dan bersemangat hendak bermain badminton namun tidak sangka dia pergi buat selama-lamanya.” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X