Jumaat, 7 Februari 2020 | 12:20pm

Penjual daging mengaku tak bersalah memandu cuai

BALIK PULAU: Seorang penjual daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang marshall acara marathon, pada 2018.

Tertuduh, Tan Boon Pew, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian memandu sebuah kereta didakwa memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah menyebabkannya tidak berdaya mengawal kenderaan itu hingga mengakibatkan kecederaan parah.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di Jalan Sultan Azlan Shah, dalam Daerah Barat Daya, kira-kira jam 4.10 pagi pada 9 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Rais Imran Hamid manakala, tertuduh diwakili peguam Willie Ong.

Terdahulu, Rais Imran memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan tarikh bagi serahan dokumen.

Bagaimanapun, Ong memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa selain mempunyai pendapatan bulan RM2,500.

Nur Azzuin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Februari depan.

Terdahulu, kenderaan dipandu Boon Pew merempuh motosikal ditunggangi marshall acara marathon Penang Amateur Athletic Association (PAAA) Annual Round The Island Relay’ bersama seorang pelajar tingkatan empat.

Kejadian menyebabkan penunggang motosikal, Lee Foo Beng, 51, cedera parah di kepala manakala pemboncengnya, pelajar lelaki yang juga peserta maraton patah kaki kiri dan kanan.

Berita Harian X