Sabtu, 8 Februari 2020 | 9:08am
Mangsa, pemandu Myvi dan rakannya maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 55 Jalan Tawau-Semporna, petang semalam. - Foto ihsan PDRM
Mangsa, pemandu Myvi dan rakannya maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 55 Jalan Tawau-Semporna, petang semalam. - Foto ihsan PDRM

Dua maut, tiga cedera bertembung dengan 4WD

TAWAU: Dua maut manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan kereta dan sebuah pacuan empat roda (4WD), di Kilometer 55 Jalan Tawau-Semporna, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mengakibatkan pemandu kereta jenis PERODUA Myvi, Sutrisno, 25, dan rakannya Gyatri Usman, 21, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Balung untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa bersama rakannya dari Kampung Pinang Kalumpang di sini, dalam perjalanan menuju ke Semporna manakala kenderaan Toyota HILUX dari arah bertentangan.

Katanya, kemalangan berlaku apabila Toyota HILUX yang dipandu lelaki berumur 27 tahun dari arah Semporna gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

“Tindakan pemandu terbabit yang memotong di garisan berkembar membawa padah dan menyebabkan kenderaan dipandunya bertembung dengan PERODUA Myvi dari arah bertentangan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, mangsa masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang di bahagian hadapan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke klinik berhampiran.

Katanya, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga daripada empat sekeluarga yang menaiki Toyota HILUX mengalami kecederaan termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun mengalami patah tulang leher dan dirawat wad kecemasan Hospital Tawau.

“Siasatan mendapati lokasi kejadian dalam keadaan permukaan berturap, jalan sehala dua lorong dipisahkan dengan garisan berkembar.

“Pemandu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut termasuk mengambil sampel darah bagi mengesan kandungan alkohol di dalam badan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mangsa, pemandu Myvi dan rakannya maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 55 Jalan Tawau-Semporna, petang semalam. - Foto ihsan PDRM
Mangsa, pemandu Myvi dan rakannya maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 55 Jalan Tawau-Semporna, petang semalam. - Foto ihsan PDRM

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X