Ahad, 9 Februari 2020 | 4:35pm

Coronavirus: Satu lagi kes baharu 2019-nCoV dilaporkan

PUTRAJAYA : Satu lagi kes coronavirus baharu (2019-nCoV) dilaporkan di negara ini, membabitkan wanita warga emas berusia 65 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata wanita berkenaan yang juga warganegara Malaysia itu adalah ibu mentua kepada individu pertama kes jangkitan membabitkan warga tempatan.

“Beliau menghidap beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan dan seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung (pacemaker) serta pergerakan yang terhad.

“Beliau mempunyai kontak langsung dengan kes indeks ketika duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain pada 26, 27 dan 28 Januari.

“Sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari, beliau memaklumkan hanya berada di rumah. Pada 5 Februari, beliau mengadu kurang sihat iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, wanita berkenaan seterusnya dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan pulang ke rumah dengan temujanji susulan pada 7 Februari.

Katanya, sebaik sahaja menantu wanita itu dikesan positif 2019-nCoV, beliau terus dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China. Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel sudah diambil daripada beliau dan ahli keluarga yang lain.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan terhadapnya dilaporkan positif pada 8 Februari, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, wanita berkenaan kini sudah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh (HSB) dan berada dalam keadaan stabil.

“Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah terkini kes positif yang membabitkan rakyat Malaysia ialah seramai lima orang.

“Dua dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, satu adalah kes lelaki ke Singapura (kes kesembilan) dan dua lagi kes adalah kontak rapat dengan kes kesembilan,” katanya.

Berita Harian X