Selasa, 11 Februari 2020 | 7:25pm
MANGSA tercampak ke lorong kanan lebuh raya selepas kemalangan membabitkan tiga kenderaan. Foto tular media sosial.

Budak dua tahun tercampak di lorong kanan lebuh raya

SEREMBAN: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang boleh digambarkan mengenai nasib seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terselamat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), semalam.

Walaupun tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya, mangsa bernasib baik apabila pemandu kereta lain di belakang menghentikan kenderaan sebaik menyedari kelibat kanak-kanak terbaring di lorong kanan lebuh raya.

Kejadian dilaporkan jam 3.21 petang semalam, di Kilometer (KM) 235.5, Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Linggi, Negeri Sembilan.

Difahamkan, kanak-kanak itu tercampak selepas kenderaan dipandu bapa mangsa dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain yang dipandu secara melulu dan berbahaya.

Insiden itu menarik perhatian umum selepas video kemalangan berkenaan tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abd Kadir, berkata kejadian berlaku sekitar jam 3.21 petang membabitkan dua kenderaan Perodua Myvi dan Honda Jazz yang dipandu secara berbahaya.

“Ketika melalui KM 235.5 Lebuhraya Senawang-Ayer Keroh arah utara, kenderaan Perodua Myvi dipandu di lorong kiri lebuh raya manakala kereta jenis Honda Jazz memandu di lorong kanan.

“Kedua-dua kenderaan terbabit kemudian mengubah haluan dan menghimpit kereta Honda Civic yang berada di lorong kanan.

“Tindakan itu menyebabkan pemandu kereta Honda Civic hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang lebuh raya dan kemudiannya terlanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi di lorong tengah.

“Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun di dalam kereta Honda Civic tercampak keluar dan terjatuh di atas lorong kanan lebuh raya.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.

Ibrahim berkata, siasatan lanjut mendapati dua kenderaan dipandu secara berbahaya dan tindakan sedang diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000,” katanya.

Berdasarkan rakaman video berdurasi selama 59 saat itu, sejurus tercampak keluar, mangsa diselamatkan seorang pemandu lori yang berhenti di lokasi kejadian.

Berita Harian X