Rabu, 12 Februari 2020 | 4:15pm
BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Hakim tegur barisan pembelaan kes Rosmah

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor, bertindak menegur barisan pembelaan kerana bertanyakan soalan sama kepada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Terdahulu, Mahdzir selaku saksi pendakwaan kelima menyambung keterangannya pada perbicaraan membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaik saja prosiding bermula kira-kira jam 10.06 pagi.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah kemudian memulakan sesi pemeriksaan balas dengan mencadangkan Pengarah Urusan JEPAK Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah ialah kroni Mahdzir.

Bagaimanapun, Mahdzir tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan dan memaklumkan Rayyan ialah rakan kongsi kepada Saidi.

Jagjit: Kenapa ia tiada dalam pernyataan bertulis? Anda baru kata Rayyan adalah wakil JEPAK. Selain itu, ada beritahu yang Rayyan kroni anda?

Mahdzir: Bila masa mereka kroni saya? Tak setuju.

Jagjit: Anda ambil duit daripada mereka, maka mereka adalah kroni.

Mahdzir: Tak setuju.

Pada prosiding itu juga, Jagjit mencadangkan bahawa Mahdzir tidak konsisten dengan keterangannya di mahkamah.

Mendengar cadangan itu, Mahdzir berkata, “Dari awal lagi tuan nak buat macam itu”.

Jagjit: Sampai mati pun saya akan teruskan dengan pemeriksaan balas.

Mahdzir: Jangan la sampai mati.

Mendengar pertelingkahan antara kedua-dua pihak itu, suasana mahkamah yang pada awalnya tegang, bertukar ceria dan mengundang gelak tawa daripada semua pihak yang berada di mahkamah.

Sebelum ini, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, sejak Khamis lalu.

Jagjit kemudian menyambung soalnya dengan meminta Mahdzir mengesahkan bahawa beliau memberi keterangan di mahkamah untuk mengelak daripada didakwa, sekiranya membantu pihak Pejabat Peguam Negara dengan menjadi saksi dalam kes itu.

Mendengar soalan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, berkata mengapa beliau mengulangi soalan sama?

Zaini kemudian bertanya berapa lama lagi diperlukan pihak pembelaan untuk menyoal balas Mahdzir.

“Tidak terlalu lama,” kata Jagjit.

Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan untuk rehat. Bagaimanapun, Rosmah dilihat enggan meninggalkan mahkamah dan mahu prosiding bersambung hingga jam 2 petang seperti kebiasannya.

Sebelum ini, prosiding perbicaraan kes berakhir pada jam 2 petang dengan alasan Rosmah perlu pulang ke rumah untuk berehat dan mengambil ubat.

Bagaimanapun, Zaini pada akhir prosiding kes itu semalam, mengingatkan bahawa perbicaraan berkenaan akan didengar satu hari penuh.

Melihat keenganan Rosmah meninggalkan mahkamah, peguam belanya memohon prosiding singkat di hadapan Zaini di mahkamah terbuka.

Mahkamah kemudian membenarkan perbicaraan ditangguhkan pada sebelah petang dan bersambung esok pagi.

Berita Harian X