Khamis, 13 Februari 2020 | 1:23pm
SEORANG wanita warga emas cedera di paha selepas tertusuk jeriji ketika cuba memanjat pagar rumahnya, pagi ini. - Foto ihsan JBPM

Nenek cedera tertusuk jeriji pagar

SIBU: Seorang wanita warga emas cedera di paha selepas tertusuk jeriji ketika cuba memanjat pagar rumahnya, pagi ini.

Difahamkan wanita berusia 72 tahun itu mahu keluar dari rumah namun pagar rumahnya berkunci dan kuncinya pula dibawa oleh salah seorang anaknya yang sudah keluar bekerja.

Ketika memanjat keluar, kaki wanita itu tersangkut lalu menyebabkan dua batang besi jeriji tertusuk di pahanya.

Pemangku Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jan 10.31 pagi tadi.

“Sepasukan anggota bergegas ke lokasi di Lorong Indah Barat 1B di sini. Ketika sampai, sebuah ambulans sudahpun tiba di lokasi.

“Pemotong hidrolik diguna untuk memotong pagar rumah itu bagi operasi menyelamat,”katanya.

Jelasnya, besi itu dipotong dan tidak dikeluarkan dari paha wanita itu kerana proses mengeluarkan besi dari paha wanita itu perlu dilakukan oleh doktor di hospital bagi mengelak sebarang risiko lebih tinggi.

Mangsa kemudiannya berjaya diturunkan dan dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X