Khamis, 13 Februari 2020 | 1:56pm
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan nama bapa.

Mahkamah Persekutuan putus anak tak sah taraf tidak boleh dibinkan, binti nama bapa

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘dibin atau binti Abdullah.’

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak dibin atau dibinti dengan nama peribadi orang yang diketahui ialah bapa kepada anak itu (responden pertama dalam kes rayuan ini).

Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah penting bagi Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu.

“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal,” katanya.

Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN tidak boleh menggunakan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap kanak-kanak itu kerana tiada fatwa tentang bagaimana memberi nama pada kanak-kanak tidak sah taraf yang diwartakan di Johor.

Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa anak tidak sah taraf Islam hendaklah ‘dibin atau binti Abdullah’.

“Pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau sesuatu fatwa itu akan menjadi undang-undang di negeri Johor dan mengikat di sisi perundangan jika ia diwartakan dalam Warta Negeri selaras dengan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003,” katanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak munasabah dalam menggunakan fatwa tertentu ke atas kanak-kanak itu serta ibu bapanya, dan dengan berbuat demikian, Ketua Pengarah JPN telah merampas kuasa Sultan Johor.

Beliau berkata, Ketua Pengarah JPN, dalam melaksanakan pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam, boleh merujuk dan bergantung pada Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mengenai pewarisan harta pusaka.

Katanya, tindakan Ketua Pengarah JPN tidak membenarkan permohonan bapa agar kanak-kanak itu dibin dengan namanya betul dari segi undang-undang.

Tiga lagi hakim iaitu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun bersetuju dengan Hakim Rohana, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Dalam penghakiman menentangnya, Hakim Nallini berkata, Seksyen 13A terpakai dalam pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam yang membolehkan mereka dibin atau dibinti dengan nama peribadi individu yang mengaku sebagai bapa kanak-kanak itu.

Beliau berkata, BDRA terpakai kepada semua orang di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementara itu, peguam Datuk Ikbal Salam yang mewakili Majlis Agama Islam Johor memberitahu pemberita bahawa fatwa berkaitan anak tidak sah taraf dibin atau dibinti Abdullah bagi negeri Johor hanya diwartakan pada 21 Mei 2018.

Beliau berkata, meskipun fatwa itu diwartakan selepas kes berkenaan bermula, namun pada masa akan datang, kedudukan seseorang individu akan jelas kerana sudah terdapat fatwa yang diwartakan di Johor yang berkaitan dengan anak tidak sah taraf.

Responden dilahirkan kurang enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya, yang disifatkan sebagai anak tidak sah taraf di bawah undang-undang syariah.

Ibu bapa kanak-kanak (yang identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah) itu memohon kepada JPN mengikut Seksyen 13 BDRA untuk kanak-kanak itu dibin dengan nama bapanya di dalam sijil kelahirannya, tetapi JPN enggan menggantikannya dengan nama bapa atas alasan kanak-kanak itu tidak sah taraf.

Ibu bapa itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 4 Ogos 2016.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman mereka untuk mengarahkan Ketua Pengarah JPN menggantikan nama keluarga kanak-kanak berkenaan, iaitu ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran. - BERNAMA

Berita Harian X