Khamis, 13 Februari 2020 | 5:30pm
Azman (kanan) menunjukkan cecair pembasmi kuman yang dirampas dalam serbuan di gudang sebuah syarikat pengeluar produk berkenaan di Bukit Angkat, Kajang. - NSTP/Muhaamad Hafis Nawawi

Harga cecair basmi kuman naik 100 peratus

KAJANG: Permintaan tinggi terhadap cecair pembasmi kuman mendorong sebuah syarikat pengeluar produk berkenaan menaikkan harga lebih 100 peratus dalam tempoh kurang dua minggu.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas serbuan dilakukan oleh tujuh pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kajang di gudang syarikat berkenaan di Bukit Angkat, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari.

Timbalan Pengarah Pencegahan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung peningkatan harga cecair pembasmi kuman dikeluarkan syarikat berkenaan yang dijual secara dalam talian.

“Berdasarkan pemerhatian awal dilakukan awal bulan lalu di laman sesawang syarikat berkenaan mendapati harga satu pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter dijual pada harga RM118 berbanding harga sebelumnya RM112.

“Bagi tempoh dua minggu kemudian, harga produk berkenaan terus meningkat hingga mencecah peningkatan 100 peratus iaitu RM228 direkodkan semalam di laman sesawang syarikat terbabit,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya turut merampas 37 pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter setiap satu dianggarkan bernilai RM8,436 dalam serbuan itu.

“Kami memandang serius mengenai peningkatan harga cecair pembasmi kuman kerana permintaan semakin meningkat dalam kalangan pengguna berikutan penularan coronavirus (COVID-19). Perkara itu perlu dibendung bagi mengelakkan panik dalam kalangan pengguna kerana kekurangan serta peningkatan harga produk terbabit di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan cecair pembasmi kuman yang meragukan diminta menyalurkan informasi melalui sembilan saluran disediakan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

“Pembekal serta peniaga turut dinasihatkan supaya memberi kerjasama kepada pengguna dan kerajaan bagi memastikan produk kawalan sentiasa berada dalam pasaran mengikut harga ditetapkan,” katanya.

Berita Harian X