Jumaat, 14 Februari 2020 | 1:28pm
KEADAAN treler yang terbalik dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan empat sekeluarga di KM 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen. NSTP/Balqis Jazimah Zahari

Pemandu treler direman empat hari

SUNGAI SIPUT: Pemandu treler yang terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa empat sekeluarga, termasuk bayi dan wanita di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen di Sungai Siput, malam tadi ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan polis tengah malam semalam selepas selesai mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput akibat cedera.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek lelaki itu ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu mendapati dia negatif daripada gejala dadah.

“Bagaimanapun, kita juga akan melihat laporan dengan pihak hospital berkaitan dengan sampel darah yang sudah dihantar untuk ujian lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khaizam berkata, anak sulung mangsa yang cedera parah pula ketika ini masih lagi sedang mendapati rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)

“Anak mangsa yang cedera parah dalam kemalangan sehingga kini masih sedang di rawat di hospital berkenaan dan

dimaklumkan akan dibedah,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera parah dalam kemalangan di KM 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, dilaporkan berkata kemalangan itu membabitkan sebuah kereta bertembung treler muatan bahan binaan.

Mangsa yang maut adalah pemandu, Mohamad Faiz Bakhri, 28, yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Siput.

Turut maut ialah isteri mangsa, Nik Idayu Nik Hasan, 30, anak bongsu mangsa, Mohammad Faqih Irshad, 2, dan adik ipar kepada pemandu, Nik Ifieka Nik Hassan, 28, manakala anak sulung pasangan itu, Mohammad Fariz Iskandar, 3, cedera parah.

Hasil siasatan awal mendapati, treler yang dipandu dari Ipoh itu terbabas memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta dari arah Kuala Kangsar yang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler dan dihempap muatan yang dibawa treler terbabit.

Berita Harian X