Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:01pm
NIK Ibiza menunjukkan gambar terakhir adiknya, Nik Idayu Nik Hassan,28 (hujung, kiri) bersama ahli keluarga ketika majlis pertunangan yang diadakan pada Januari lalu di rumah mereka di Kampung Biduk, Jejulok, Bachok. NSTP/Nor Amalina Alias

Arwah dua beradik sangat rapat

BACHOK: “Mereka dua beradik sangat rapat dan sering bersama-sama, kami tidak sangka akhirnya mereka juga mengadap Ilahi bersama-sama,” kata Nik Ibiza Nik Hassan.

Nik Ibiza, 32, adalah abang kepada Nik Ifieka, 28, dan Nik Idayu, 30, antara empat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesen di Sungai Siput jam 10.20 malam tadi.

Katanya, Nik Ifieka baru dua hari berada di Perak untuk bercuti di rumah Nik Idayu sebelum kemalangan meragut nyawa dua adiknya serta suami Nik Idayu, Mohd Faiz Bakhri, 28 dan anak bongsu mereka, Mohammad Faqih Irshad Mohamad Faiz, yang berusia dua tahun.

“Malam tadi saya sempat melihat gambar di status WhatsApp Ifieka yang menunjukkan mereka baru sahaja selesai makan malam iaitu setengah jam sebelum kemalangan dilaporkan berlaku.

“Pada jam 1 pagi, keluarga menerima panggilan memaklumkan mereka sekeluarga maut dalam kemalangan. Ibu, Zaleha Nasir, 58 dan ayah, Nik Hassan Raja Abdullah, 63, serta adik bongsu, Nik Illyas Nik Hassan, 19, terus ke Hospital Sungai Siput.

“Kali terakhir kami berkumpul beramai-ramai adalah pada Tahun Baharu Cina akhir Januari lalu kerana salah seorang adik bertunang pada 30 Januari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Biduk, di sini.

Nik Ibiza berkata, itu kali terakhir mereka sekeluarga bertemu Ifieka dan Ayu, namun Ifieka pulang awal ke Melaka kerana bekerja dan dua hari lalu, dia maklumkan berada di rumah Ayu untuk bercuti.

“Ayu dan Ifieka adalah anak keempat dan kelima dalam lapan beradik serta sering bersama-sama, apatah lagi Ayu sering memberi semangat untuk Ifieka mencari pekerjaan tetap selepas tamat pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dua tahun lalu.

“Sebelum ini, Ifieka sering berulang alik ke Kuala Lumpur mencari kerja tetap dan kali terakhir dapat kerja di Melaka, mungkin dia ke rumah Ayu untuk berkongsi kegembiraan dapat kerja sebab tu dia bercuti di Perak kerana cuti Januari lalu dia hanya sempat pulang sehari di rumah di Bachok,” katanya.

Jenazah Ifieka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Biduk, di sini, petang nanti.

Sementara itu, jenazah Nik Idayu dan suami serta anaknya akan dikebumikan di kampung halaman suaminya di Kampung Jambu, Panji.

Dalam kejadian jam 10.20 malam tadi, empat beranak itu meninggal dunia selepas kereta Waja yang dinaiki dirempuh treler muatan bahan binaan di Kilometer 37 Jalan Ipoh- Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesen di Sungai Siput, Perak.

Selain mereka berempat, anak sulung Nik Idayu, Mohammad Fariz Iskandar, 3, cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Berita Harian X