Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:18pm
Che Senah Che Awang (kanan) ditenangkan oleh ahli keluarga selepas terima berita anaknya, Mohd Faiz Bakhri, Nik Idayu Nik Hasan dan anak bongsu Mohammad Faqih Irshad Mohamad Faiz maut dalam kemalangan jalan raya di KM 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

'Faiz beriya-iya nak bina rumah di kampung'

KOTA BHARU: “Minggu lalu arwah bawa saya dan suami semak duit simpanan di pejabat pos dan memberitahu nak digunakan bina rumah di sini... nampaknya tak jadilah.”

Che Senah Che Awang, 62, ibu kepada mangsa kemalangan maut, Lans Koperal Mohamad Faiz Bukhari, 28, di Sungai Siput, Perak malam tadi, masih mengingati hasrat anaknya itu ketika pulang bercuti di kampung halaman di Kampung Jambu di sini, minggu lalu.

Malah, Mohamad Faiz yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, sudah menanda tapak tanah yang diinginkan.

“Dalam perjalanan ke pejabat pos, dia beritahu saya dan suami mengenai hasrat itu. Saya tanya bila nak bina rumah, dia kata belum pasti lagi sebab simpanan belum cukup.

“Dia beriya-iya menanda tapak tanah di hadapan rumah saya ini sambil mengingatkan lapan adik-beradiknya yang lain supaya jangan mengambil tapak tanah itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dalam kemalangan jam 10.20 malam tadi, kenderaan dipandu Mohamad Faiz dirempuh treler muatan bahan binaan di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesen di Sungai Siput.

Kemalangan itu turut mengorbankan isterinya, Nik Idayu Nik Hasan, 30; anak bongsu mereka, Mohammad Faqih Irshad, dua tahun, serta adik isterinya, Nik Ifieka, 28.

Anak sulung pasangan itu, Mohammad Fariz Iskandar yang berusia tiga tahun, dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPP), Ipoh.

Che Senah menerima berita itu jam 12.15 tengah malam tadi selepas suaminya, Bukhari Rejab, 65, dihubungi seorang rakan.

“Tak tahu macam mana nak tahan sedih sebaik suami memberitahu Faiz, menantu dan seorang cucu sudah tiada.

“Ikutkan saya nak ke hospital di Perak tetapi keluarga minta saya menunggu jenazah di rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata, Mohamad Faiz yang juga anak keenam daripada sembilan beradik itu adalah seorang yang pendiam, suka bersedekah dan disenangi rakan serta melaksanakan tanggungjawab sebagai anak dengan baik.

Katanya, Allahyarham ada memintanya menyediakan beberapa jenis masakan ketika pulang bercuti baru-baru ini, namun berasa terkilan kerana tidak dapat memasak ayam percik seperti dimahukan.

“Saya hanya sempat memasak gulai kerangka ayam dan ikan diperap garam kunyit yang dibawa pulang untuk bekalan pulang ke Sungai Siput,” katanya.

Jenazah Mohamad Faiz dan isteri serta anak mereka dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu dalam satu liang petang ini, manakala jenazah adik ipar mangsa dibawa pulang ke Kampung Jejulok, Bachok.

Berita Harian X