Jumaat, 14 Februari 2020 | 4:09pm

Suami isteri didakwa dera, abaikan anak

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera dan mengabaikan anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun.

Tertuduh, P Chadrasegaran, 36, dan T Lohkanayagi, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut kertas pertuduhan, Lohkanayagi yang juga ibu tiri kepada kanak-kanak berkenaan, didakwa menganiaya dan mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Chadrasegaran yang juga bapa kandung mangsa pula didakwa mengabaikan, mendedahkan dan membiarkan anaknya sehingga menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan emosi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, di sini, antara pertengahan 2019 hingga 9 Februari lalu pada jam 12.15 tengah hari.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, J G Kaameni, tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh bagi mengelakkan mereka mendekati dan terus mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Lohkanayagi memohon dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai tujuh anak untuk dijaga, selain anak bongsunya menghidap penyakit lemah jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes.

P Chadrasegaran (kiri) dan T Lohkanayagi dibawa anggota polis atas pertuduhan mendera dan mengabaikan anak perempuan mereka di Mahkamah Butterworth. - NSTP/Danial Saad

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X