Sabtu, 15 Februari 2020 | 12:53pm
Keadaan rumah runtuh di Kampung Jeriah, petang semalam. - NSTP/Harun Yahya

Bayi antara 16 penduduk terselamat insiden rumah runtuh

SIBU: Seorang bayi berusia lima bulan antara 16 penduduk dari empat keluarga yang terselamat dalam kejadian rumah runtuh di Kampung Jeriah Sibu, di sini lewat petang semalam.

Pemangku Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wan Kamarudin Wan Ahmad, berkata semua mangsa yang berusia dari lima bulan hingga 64 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 6.50 petang itu.

Katanya, penghuni rumah pada mulanya terdengar bunyi geseran pada jam 12 tengah hari semalam, namun tidak mengendahkannya kerana menganggap ia bunyi biasa.

Kejadian rumah runtuh di Kampung Jeriah Sibu, semalam. - NSTP/Harun Yahya

“Bagaimanapun, sekitar jam 6:50 petang, satu gegaran berlaku di bahagian dapur menyebabkan semua penghuni keluar dari rumah menyelamatkan diri.

“Dua minit kemudian, gegaran lebih kuat dan menyebabkan bahagian dapur hingga bahagian ruang tamu runtuh,” Katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, mangsa gagal menyelamatkan barang-barang dari dalam rumah kerana kejadian berlaku amat pantas selain keadaan cuaca yang sudah hampir gelap ketika itu.

Wan Kamarudin menjelaskan, mangsa kini menumpang di rumah saudara mara mereka yang tinggal berdekatan.

“Selepas memasang sawar-sawar di sekeliling runtuhan, anggota bomba menasihatkan mangsa tidak masuk semula ke kawasan runtuhan pada waktu malam untuk mengambil dokumen-dokumen penting,” Katanya

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menghantar Kit Makanan Permulaan (KMP) kepada ketua isi rumah setiap keluarga terjejas, malam tadi.

Kejadian rumah runtuh semalam adalah yang kedua di Kampung Jeriah selepas insiden pada 10 September tahun lalu yang membabitkan 14 penduduk.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X