Sabtu, 15 Februari 2020 | 1:47pm

Polis masih siasat kes rumah pegawai kastam dibaling bom botol

KOTA BHARU: Polis menyoal siasat beberapa individu bagi membantu siasatan kes rumah seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terbakar akibat dibaling bom botol oleh individu tidak dikenali, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata siasatan masih dijalankan dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Terdahulu, beliau dalam satu kenyataan, memaklumkan kejadian terbabit mungkin ada kaitan dengan kes rampasan ketum memandangkan mangsa adalah pegawai kastam.

“Malah, hasil pemeriksaan polis menemui pemetik api dan botol berbau petrol yang sudah diserahkan kepada bomba untuk siasatan lanjut

“Akibat kejadian itu, mangsa kerugian RM150,000 berikutan 90 peratus garaj kereta terbakar dan dua kenderaan, iaitu Mitsubishi Triton dan Toyota Yaris turut musnah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Taman Binaraya 3, Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdullah mengesahkan mayat pendaki yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada petang Rabu lalu sudah dibawa turun dari Kem Kubang, Gunung Basor, Kuala Balah, Jeli, jam 8 pagi tadi.

Katanya, Zulkifli Ibrahim, 43, tahun dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung selepas mendaki gunung terbabit bagi tujuan membuat trek mendaki yang baharu bagi pelajar universiti.

“Seramai 11 anggota polis terbabit dalam misi membawa turun jenazah dengan kerjasama agensi keselamatan lain seperti bomba, renjer Jabatan Perhutanan Kelantan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Misi mengambil enam jam untuk naik dan turun. Anggota bertugas terpaksa meredah laluan masuk ke hutan kerana bantuan melalui udara menemui jalan buntu akibat awan tebal selain kanopi pokok yang terlalu rapat yang menyukarkan anggota mencari lokasi mangsa.

“Hasil siasatan, mangsa mendaki bersama tiga lagi rakanya sebelum mengalami sesak nafas di satu ‘check point’ gunung berkenaan dan meninggal dunia. Seorang daripada rakan mangsa turun bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Abdullah (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Taman Binaraya 3, Pasir Tumboh di Kota Bharu, hari ini. Foto SYAHERAH MUSTAFA
Polis menyoal siasat beberapa individu bagi membantu siasatan kes rumah seorang pegawai JKDM terbakar akibat dibaling bom botol oleh individu tidak dikenali, Isnin lalu. - NSTP/Nor Fazlina Abdul Rahim

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X