Sabtu, 15 Februari 2020 | 4:02pm
Kebakaran memusnahkan sebuah rumah yang didiami 14 penghuni di Kampung Penakup, Mukah, hari ini.-Foto/Bomba

Bomba selamatkan wang tunai dalam kebakaran

MUKAH: Anggota bomba menyelamatkan wang tunai berjumlah RM27,000 di dalam sebuah rumah yang terbakar di Kampung Penakup Ulu, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata wang tunai berkenaan ditemui anggota yang sedang melakukan kerja-kerja pemadaman dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi.

Beliau berkata, wang tunai itu kemudiannya diserahkan kepada pemilik rumah berkenaan.

“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.26 pagi dan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerah ke lokasi.

“Ketika kerja pemadaman dilakukan, anggota kami menemui sebuah beg yang mengandungi sejumlah wang tunai,” katanya.

Ling Hii berkata, rumah berkenaan didiami seramai 14 penghuni dari dua keluarga berusia antara setahun enam bulan hingga 73 tahun, termasuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 38 tahun.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan keseluruhan rumah berstruktur kayu itu.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X